Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA gembira puasa BERJAYA MENCAPAI 103 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

31  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2382.
Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Beberapa orang munafik pada masa Rasulullah saw., apabila beliau pergi berperang mereka tidak turut berperang dan merasa bangga dengan taktik mereka itu (untuk melemahkan kekuatan kaum muslimin). Apabila Rasulullah saw. telah kembali (membawa kemenangan dan harta rampasan perang), mereka mengemukakan alasan mereka masing-masing, mengapa mereka tidak turut berperang dan menguatkan alasannya dengan sumpah. Kemudian mereka ingin dipuji (seolah-olah merekalah yang pahlawan) padahal mereka tidak berbuat apa-apa. Kerana itu turunlah ayat : "Janganlah sekali-kali kamu mengaku bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka ingin dipuji terhadap perbuatan yang tidak mereka kerjakan, janganlah kamu mengira bahawa mereka akan terlepas dari seksa." (Al Imran, 3:188).

32  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0852.
Dari 'Atha' bin Abu Rabah r.a., katanya dia mendengar 'Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita: Bila angin bertiup kencang, dan langit mendung berawan banyak, nampak kegelisahan di wajah Rasulullah saw., sehingga beliau maju mundur. Apabila hujan telah turun wajah beliau berubah jadi gembira dan hilang kegelisahannya. Kata 'Aisyah, "Aku bertanya kepada beliau, apa yang menyebabkannya gelisah begitu rupa." Jawab beliau, "Aku khuatir, kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umat ku. Tetapi bila hujan telah turun, maka hal itu adalah rahmat."

33  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0373.
Dari Ibnu Syihab La., katanya: "Anas bin Malik mengatakan kepada ku, bahawa Abu Bakar mengimami solat berjemaah pada hari-hari Rasulullah sakit akan meninggal. Pada hari Isnin, ketika jemaah sedang solat bersaf-saf, Rasulullah saw. menyingkapkan tabir kamarnya, sehingga beliau kelihatan oleh kami berdiri dengan muka pucat seperti kertas. Lalu beliau tersenyum dan tertawa." Kata Anas selanjutnya, "Tiba-tiba beliau mendatangi kami, dan kami yang sedang solat merasa gembira dengan kedatangan beliau itu. Abu Bakar yang menjadi imam ketika itu mundur sampai ke saf; kerana dia menyangka Rasulullah keluar hendak solat. Tetapi beliau memberi isyarat dengan tangannya, supaya mereka meneruskan solat mereka hingga selesai. Kemudian beliau masuk kembali ke kamar dan menurunkan tirainya."

34  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0149.
Dari 'Atha' bin Yazid Al Laytsi r.a., katanya Abu Hurairah r.a., mengabarkan kepadanya, bahawa orang ramai bertanya kepada Rasulullah saw., "Dapatkah kami melihat Tuhan kami nanti di hari kiamat?" Jawab Rasullullah saw., "Apakah kamu mendapat kesulitan melihat bulan purnama di malam empat belas?" Jawab mereka "Tidak, ya Rasulullah!" Tanya, "Apakah kamu merasa sulit melihat matahari di langit tak berawan?" Jawab mereka, "Tidak, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya anda semua akan melihatNya nanti seperti itu. Di hari kiamat kelak, Allah akan mengumpulkan seluruh umat manusia, lalu Dia berfirman: "Siapa yang menyembah selain Aku, hendaklah dia mengikutinya!' Maka siapa yang menyembah matahari, diikutinya matahari, siapa yang menyembah bulan diikutinya bulan, dan siapa yang menyembah berbagai berhala, diikutinya pula berhala-berhala itu. Maka tinggallah umat ini (orang-orang mukmin), yang di dalamnya termasuk pula orang-orang munafik. Allah Tabaraka wa Ta'ala mendatangi mereka dalam bentuk lain yang tidak mereka kenal. Lalu Allah berfirman, "Akulah Tuhanmu! (Ikutilah aku!)" Jawab mereka, "Kami berlindung dengan Allah dari tipu-dayamu. Kami akan tetap di tempat kami ini sampai Tuhan kami datang menjemput kami. Apabila Tuhan kami telah datang, kami akan mengenal-Nya." Maka datanglah Allah Ta'ala dalam bentuk yang mereka kenal, seraya berfirman, "Akulah Tuhanmu!" Jawab mereka, "Ya, Engkaulah Tuhan kami!" Kata Nabi saw. melanjutkan, "Lalu dibentangkan titian pada kedua sisi neraka jahanam. Aku dan umatkulah yang pertama-tama melalui titian itu. Pada hari itu tidak ada yang diperkenankan berbicara kecuali para Rasul. Doa mereka itu, "Wahai, Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah!" Di dalam neraka jahanam ada semacam kaitan seperti pancing, runcing bagaikan duri sa'dan. Pernahkah Anda semua melihat duri Sa'dan? Jawab mereka, "Pernah, ya Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Nah! Seperti duri Sa'dan itu tetapi tidak terkira-kirakan besarnya, selain hanya Allah yang dapat mengetahuinya. Kaitan itu akan mengait setiap umat manusia yang lalu di titian itu kerana amal perbuatan mereka. Orang-orang yang beriman akan terlepas dari bahaya itu sesuai dengan amal mereka, dan ada pula yang dihukum beberapa lama, sampai ia bebas dari hukuman itu. Setelah Allah selesai mengadili perkara para hamba-Nya, Ia ingin mengeluarkan dengan rahmat-Nya penduduk neraka yang dikehendaki-Nya, lalu Dia memerintahkan para malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang tidak mempersekutukan-Nya dengan yang lain-lain. Yaitu orang yang mengakui tidak ada Tuhan selain Allah. Para malaikat mengenal mereka yang di neraka itu dengan tanda-tanda bekas sujud. Sesungguhnya api memakan tubuh anak Adam di neraka, selain bekas sujud. Kerana Allah mengharamkan bagi api memakan tanda bekas sujud itu. Lalu mereka dikeluarkan dari neraka dalam keadaan hangus. Kemudian mereka disiram dengan air kehidupan, dan mereka dapat hidup bagaikan semaian tanaman yang tumbuh di atas lumpur yang dibawa banjir. Setelah semuanya selesai dikeluarkan, ternyata masih ada ketinggalan seorang lelaki yang menghadapkan mukanya ke neraka. Itulah penduduk syurga yang terakhir sekali masuk syurga. Orang itu berkata, "Wahai Tuhan! Palingkanlah muka ku dari neraka ini, kerana anginnya terasa bagaikan racun dan nyalanya serasa membakar diriku." Dia sentiasa mendoa kepada Allah. Kemudian Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman: "Jika Aku kabulkan permintaanmu itu, apakah kamu akan meminta pula yang lain-lain?" "Tidak! Aku tidak akan meminta lagi yang lain-lain," katanya berjanji. Lalu dengan kehendak Allah, mukanya terpaling dari neraka. Setelah dia menghadap dan melihat ke syurga, dia terdiam beberapa lamanya, lalu berkata, "Wahai Tuhanku!Bawalah aku ke pintu syurga. Maka berfirman Allah kepadanya, "Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi padaKu selain apa yang telah Ku beri? Celaka engkau, hai anak Adam. Engkau betul-betul penipu." Tetapi orang itu terus mendoa dan mendoa, sehingga akhirnya Allah berfirman kepadanya, "Berjanjilah, jika permintaanmu itu Aku kabulkan, kamu tidak akan meminta lagi yang lain-lain." "Tidak! Demi kebesaranMu," kata orang itu berjanji. Lalu dia dibawa ke pintu syurga. Setelah ia sampai di sana, pintu itu terbuka lebar baginya, sehingga ia dapat melihat dengan jelas segala isinya berupa kenikmatan dan kebahagiaan. Kerana itu dia terdiam pula seketika, kemudian dia mendoa pula, "Wahai, Tuhan ku! Masukkanlah aku ke syurga!" Firman Allah Tabaraka wa Ta'ala, "Bukankah engkau sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain apa yang telah Kuberikan? Celaka engkau hai anak Adam! Alangkah penipunya kamu!" Jawab orang itu, "Wahai, Tuhan ku! Janganlah aku dijadikan makhlukMu yang celaka!" Dia sentiasa mendoa dan mendoa seperti itu, sehingga Allah tertawa kerana gembiraNya. Maka berfirman Allah, "Masuklah kamu ke syurga.". Setelah dia berada di syurga, Allah berfirman pula kepadanya, "Mintalah apa yang kau inginkan!" Lalu dia memohon segala yang diinginkannya, sehingga Allah mengingatkannya (membatasi) ini dan itu. Setelah permintaannya terkabul semuanya, Allah Ta'ala berfirman pula kepadanya, "Semua permintaanmu telah Kukabulkan, bahkan akan Kutambah sebanyak itu lagi (menurut hadis Abu Sa'id r.a. bahkan Allah menambah sepuluh kali lipat permintaannya)."

35  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0074.
Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi saw. sabdanya: "Jibril 'alaihissalam datang kepada ku, lalu dia menyampaikan berita gembira kepada ku: "Siapa saja dari umatmu yang mati, sedangkan dia tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, dia masuk syurga." Tanya ku, "Sekalipun dia berzina dan mencuri?" Jawabnya, "Ya, sekalipun dia berzina dan mencuri. "

36  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0946.
Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Pada suatu malam aku pergi berjalan-jalan ke luar rumah. Tiba-tiba kelihatan oleh ku Rasulullah saw. berjalan seorang diri, tanpa seorang pun yang mendampingi beliau. Aku mengira bahawa beliau enggan ditemani ketika itu oleh siapa pun. Kerana itu aku berjalan di keredupan cahaya bulan. Tiba-tiba beliau melihat ku dan bertanya, "Siapa itu?" "Aku, Abu Dzar" jawab ku. "Semoga Allah menjadikan ku tebusan anda." Sabda beliau, "Hai, Abu Dzar, kemarilah !" Lalu aku berjalan bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau, "Kaum hartawan itu di hari kiamat kelak mereka miskin. Kecuali orang-orang yang dikurnia Allah kebajikan, lalu dibagi-bagikannya hartanya itu ke kanan dan ke kirinya, ke muka dan ke belakang (kepada orang-orang di sekitarnya), dan dia beramal kebajikan dengan hartanya itu." Kami terus juga berjalan, hingga tiba-tiba Rasulullah saw. bersabda kepada ku, "Duduklah kamu di sini sampai aku kembali!" Beliau menyuruh ku duduk di suatu tempat berbatu-batu. Lalu beliau pergi melalui tempat berbatu-batu hitam, sehingga beliau hilang dari penglihatan ku. Setelah beberapa lama aku menunggu, ku dengar beliau datang sambil berujar. "Sekalipun dia mencuri dan berzina." Setelah beliau sampai ke dekat ku, aku tidak sabar lagi, lalu ku tanyakan, "Ya, Nabi Allah! Semoga diri ku jadi tebusan anda. Siapakah yang bercakap-cakap dengan anda di tempat berbatu-batu itu? Kerana aku mendengar seseorang mengatakan sesuatu kepada anda." Jawab beliau, "Dia Jibril! Dia datang kepada ku di tanah berbatu-batu hitam, lalu katanya: Gembirakanlah umat anda, bahawa siapa yang meninggal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu, nescaya dia masuk syurga." Lalu aku bertanya kepadanya, "Sekalipun dia mencuri dan berzina?" Jawab Jibril, "Ya, benar" Tanya ku, "Sekalipun dia mencuri dan berzina?" Jawab Jibril, "Ya, benar! Bahkan sekalipun dia minum khamar."

37  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0853.
Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Bila angin bertiup kencang, maka Rasulullah saw. membaca doa sebagai berikut: 'Allahumma inni as-aluka khairaha wa khaira ma fiha, wa khaira ma ursilat bihi. Wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma fiha, wa syarri ma ursilat bihi'. Dan apabila langit telah mendung dan warnanya berubah (hitam pekat disertai kilat dan guntur), beliau kelihatan gelisah, sehingga beliau keluar masuk ke muka dan ke belakang. Tetapi bila hujan telah turun, beliau gembira, kerananya, dan kelihatan di wajah beliau. Kerana itu aku bertanya kepada beliau, kenapa dia sampai begitu. Jawab beliau, "Mungkin, hai 'Aisyah, seperti apa yang dikatakan mengenai kaum 'Ad: Setelah mereka melihat awan itu membentang menuju ke lembah-lembah mereka lalu berkata : Inilah awan-awan itu datang hendak menurunkan hujan bagi kita ..." (Ahqaf: 24)

38  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0098.
Dari Ibnu Syumamah Al Mahri r.a., katanya: "Kami menyaksikan 'Amru bin 'Ash ketika dia hendak meninggal. "Dia lama menangis sambil menghadapkan mukanya ke dinding. Kerana itu anaknya berujar, "Wahai Ayahku! Bukankah Rasulullah saw. telah menyampaikan berita gembira bagi Ayah, begini dan begitu. (Kenapa Ayah masih menangis?)" Lalu 'Amru bin 'Ash menengok kepada anaknya seraya berkata, "Sesungguhnya perbekalan kita yang paling utama ialah syahadat: Tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad Rasulullah. Aku ini telah mengalami tiga zaman. Pertama, aku menyedari, tidak ada orang yang paling benci kepada Rasulullah saw. melebihi benci ku. Ketika itu tidak ada yang lebih ku inginkan kecuali menangkapnya lalu membunuhnya. Kalaulah aku meninggal ketika itu, tentu aku masuk neraka. Kedua, tatkala Allah menanamkan Islam ke dalam dada ku, aku datangi Nabi saw., lalu aku berujar, "Hulurkanlah tangan Anda, aku hendak berjanji setia (bai'at) dengan Anda." Beliau mengulurkan tangannya dan menjabat tangan ku sambil berkata, "Apa maksud mu hai 'Amru?" Jawab ku, "Aku hendak masuk Islam dengan syarat." Tanya beliau, "Apa syarat yang engkau minta?" Jawab ku, "Supaya segala dosa ku diampuni." Kata beliau, "Apakah engkau belum tahu, bahawa Islam menghapus segala dosa yang sebelumnya? Hijrah dan Haji juga menghapus dosa-dosa yang sebelumnya?" Semenjak itu aku merasakan, tidak ada orang paling cinta kepada ku melebihi cinta Rasulullah saw. Dan tidak ada orang yang paling terhormat di mata ku melebihi beliau. Sebab itu, aku tak kuasa menatapnya demi untuk memuliakannya. Sehingga andaikan aku diminta orang untuk menggambarkan bentuk beliau, aku tak sanggup, kerana aku tak pernah mengangkat pandanganku kepada beliau. Kalaulah aku mati ketika itu, sungguh besar harapan ku bahawa aku masuk syurga. Ketiga, Kemudian aku menjabat berbagai jabatan pemerintahan, di mana aku sendiri tidak tahu bagaimana sesungguhnya keadaan ku selama dalam jabatan-jabatan itu. Kerana itu jika aku mati, janganlah jenazah ku dihantar para wanita peratap dan jangan pula membawa api. Apabila aku telah dikubur, timbunlah jenazahku dengan tanah sampai rata, kemudian tunggulah kira-kira selama orang menyembelih korban dan membagi-bagikan dagingnya, supaya aku tidak kesepian bersama mu, tatkala aku memikirkan jawapan terhadap malaikat yang dikirim Tuhan mu untuk menanyai ku."

39  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2298.
Dari Jarir bin Abdullah r.a. katanya: "Serombongan orang Arab dusun datang kepada Nabi saw. berpakaian bulu kibasy (berpakaian buruk). Setelah melihat keadaan mereka yang menyedihkan itu, Rasulullah maklum bahawa mereka ditimpa musibah dan memerlukan bantuan. Lalu beliau menganjurkan agar orang banyak memberi sedekah kepada mereka. Tetapi anjuran beliau itu agak lambat mendapat tanggapan, sehingga kelihatan di wajah beliau bahawa beliau agak kecewa. Kemudian datang seorang lelaki Ansar memberikan wang pundi-pundi. Kemudian datang pula yang lain, yang lain, dan seterusnya, sehingga wajah beliau berubah jadi gembira kembali. Maka bersabda Rasulullah saW., "Siapa memberi contoh (mengajak) melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu diikuti orang, maka dia mendapat pahala sebanyak pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak kurang sedikit jua pun. Begitu pula siapa yang mengajak melakukan kejahatan, kemudian dikerjakan orang pula kerana mengikuti dia, maka dituliskan dosanya sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya tidak kurang sedikit jua pun."

40  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1401.
Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. memasuki rumahku dengan keadaan gembira, lalu beliau berkata: "Hai, 'Aisyah! Engkau dengarkah tadi Mujazziz Mudliji (ahli identifikasi) masuk ke rumahku? Dia melihat Usamah dan Zaid dalam selimut beludru dengan kepala mereka tertutup dan tapak kaki terbuka. Mujazziz itu berkata, "Telapak kaki ini serupa satu sama lain (ertinya mereka mempunyai hubungan darah/turunan)."